Sambungan dari di SINI
Epilog
Dalam
episod Low's Gully, tidak semua yang terlibat dalam ekspedisi itu menemui
pengakhiran yang menggembirakan. Kesemua sepuluh anggota ekspedisi Gully
Heights menerima surat dari Eastern District Hq, Imphal
Barracks, Fulford Road, York. Mereka diarah menghadiri Lembaga Penyiasatan pada
25 April 1994; berakhir pada 24 Mei 1994.[1]
Arahan tersebut dikeluarkan oleh Mej Jen Patrick
Cordingley, General Officer Commanding Eastern District, bagi menyiasat
punca kehilangan lima anggota ekspedisi yang British. Ekspedisi yang telah mencemar
reputasi Tentera Darat British dan mengakibat Kerajaan Britain terpaksa
menanggung perbelanjaan kira-kira £75,000 dalam usaha menyelamatkan mereka. [2]
Terma
rujukan Lembaga tersebut adalah jelas dan menyeluruh: “Untuk membincangkan
perancangan dan objektif ekspedisi, serta latar belakang peribadi semua ahli
ekspedisi.”[3]
Lembaga dipengerusikan oleh seorang Kolonel dengan dibantu oleh ahli-ahli yang
terdiri daripada seorang Leftenan Kolonel, seorang Mejar, dan seorang Kapten.
Kapten berkenaan merupakan seorang peguam, mencerminkan bahawa siasatan
tersebut bukan sahaja bersifat ketenteraan, tetapi juga berlandas pertimbangan
undang-undang.
Prosiding
Lembaga diadakan di Markas tersebut. Daripada sepuluh peserta ekspedisi, hanya
Pbt Chow W.K., yang pada masa itu masih menjalani rawatan di British Military
Hospital, Hong Kong, yang tidak hadir.
Dalam
naratifnya, Lt Kol Robert Neill selaku ketua ekspedisi,
menyatakan peserta telah berpecah kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama terdiri
daripada Sjn Bob Mann, Kpl Hugh Brittan, L/Kpl Richard
Mayfield, L/Kpl Peter Shearer, dan L/Kpl Steve Page. Walaupun terdapat
anggota lain yang berpangkat lebih kanan, namun demikian ketua ekspedisi ‘menganggap’
L/Kpl Richard Mayfield sebagai ketua kumpulan tersebut. Malahan, ketua
ekspedisi secara langsung tidak melantik atau menamakan mana-mana anggota
sebagai ketua. Anggapan ini kerana L/Kpl Richard Mayfield seorang ‘JSICI’ (Joint Services Mountain Climbing Instructor).
Anggapan ini berlandas bahawa adalah seorang yang terlatih dalam bidang ‘abseiling.’
Lantaran
itu, kekeliruan mengenai siapa ‘ketua’ kumpulan membuatkan Lt Kol Robert Neill
mendakwa L/Kpl Richard Mayfield tidak mematuhi
arahannya. Beliau mendakwa ketua kumpulan tersebut bertindak untuk menerus
perjalanan tanpa menunggu mereka.
Naratif
ketua ekspedisi disanggah oleh L/Kpl Richard Mayfield. Semasa perbualan antara
mereka, pada pemahaman L/Kpl Richard Mayfield, Lt Kol Robert Neill memberi
kebenaran kepada beliau dan kumpulannya meneruskan perjalanan mereka ke kaki
gunung.
*****
Pada
20 September, Mej Jen Patrick Cordingley telah
mengadakan sidang akhbar untuk memaklum dapatan Lembaga Penyiasatan tersebut.
Menyentuh kepimpinan Lt Kol Robert Neill, beliau memberitahu bahawa ketua ekspedisi telah ditemuduga olehnya dan juga Deputy Commander in Chief of the UK Land Forces.
Selain itu, Lembaga berpendapat:
“...Lembaga
Penyiasatan berpendapat bahawa pertimbangan dan kepimpinan Lt Kol Neill semasa
beberapa bahagian ekspedisi tersebut adalah tidak tepat, dan bahawa keputusan
untuk membawa anggota kumpulan yang kurang berpengalaman masuk ke Low’s Gully
merupakan satu tindakan yang melampaui kemampuan (over-ambitious).”[4]
Kepimpinan
Mej Ron Foster turut diberi perhatian. Lembaga berpendapat beliau yang
mengganti Lt Kol Roberti Neill semasa ketuanya jatuh sakit:
“...bahawa
beberapa keputusan yang diambil oleh Mej Foster dalam tempoh tersebut, walaupun
sepenuhnya selaras dengan pelan keseluruhan, kemudiannya telah menyumbang
kepada keadaan berbahaya yang tercetus. Saya (Mej Jen Patrick Cordingley) telah
menemu bual Mej Foster dan mengemukakan perkara ini kepadanya.”[5]
Manakala
dakwaan L/Kpl Richard Mayfield tidak mematuhi arahan disanggah oleh Lembaga,
sebaliknya mendapat kepujian. Penilaian rasmi menyimpulkan bahawa:
“Lembaga
Penyiasatan mengesyor bahawa tingkah laku dan prestasi Kpl Brittan, L/Kpl
Mayfield dan L/Kpl Cheung adalah pada tahap yang wajar menerima pengiktirafan
rasmi. Oleh itu, dengan sukacita saya mengumumkan bahawa ketiga-tiga anggota PTT
tersebut telah dianugerah pujian atas tindakan mereka semasa ekspedisi itu.”[6]
Mej
Jen Patrick Cordingley tidak ketinggalan merakam penghargaan kepada Malaysia:
“...saya
ingin mengambil kesempatan ini untuk memberi penghormatan kepada usaha
cemerlang Angkatan Tentera Malaysia serta bantuan daripada Kerajaan Malaysia
yang telah membawa operasi menyelamat ini kepada suatu penyelesaian yang
memuaskan.”[7]
*****
Dengan
dapatan tersebut, memetik akhbar The Herald pada 21
September 1994, daripada sumber Tentera Darat: “Peluang kenaikan pangkat Lt Kol Neill kini dianggap telah tertutup.”[8]
Mej Ron Foster tidak begitu terkesan mengenai kerjayanya kerana beliau hanyalah
anggota Wataniah.
Lt
Kol Neill akur terhadap dapatan tersebut. Beliau menerima tanggungjawab penuh
terhadap sebarang kegagalan yang berlaku dan menyatakan bahawa dapatan Lembaga
tersebut adalah sepenuhnya adil. Beliau turut gembira penganugerahan pujian
rasmi ke atas tiga anggota terbabit sambil menegas bahawa kesemua mereka
merupakan anggota muda yang amat berani. Tidak ketinggalan, Lt Kol Neill merakam penghargaan kepada para penyelamat
yang telah mempertaruh nyawa mereka dalam keadaan operasi yang amat mencabar.[9]
*****
Episod
ini turut dibincang dalam Parlimen UK pada 21 June 1994. Seorang ahli Parlimen bertanya
tentang perancangan masa mengenai
rancangan masa hadapan ‘adventurous training.’ Menteri Negara bagi Angkatan Tentera (Minister of State for the Armed Forces)
memberitahu kementeriannya sedang merancang satu kajian khusus bagi menilai
sejauh mana kecekapan maksimum dan proses rasionalisasi latihan bercorak
cabaran dapat dilaksanakan.[10]
Jawapan
tersebut selari dengan dapatan Lembaga Penyiasatan. Memetik Mej Jen Patrick
Cordingley, beliau menegas:
“Tiada
apa-apa yang terdedah sepanjang Lembaga Penyiasatan ini menimbul sebarang
keraguan terhadap nilai berterusan latihan bercorak cabaran (adventurous training)
sebagai kaedah pembangunan anggota tentera bagi Tentera Darat dan oleh itu,
komitmen kami terhadap latihan tersebut kekal teguh seperti sedia ada.”[11]
*****
Bagi
L/Kpl Richard Mayfield pula, ekspedisi Low’s Gully menjadi titik awal kepada
pengakhiran perkhidmatannya sebagai seorang anggota tentera. Sebelum Lembaga
Penyiasatan, Lt Kol Robert telah membuat kenyataan yang disiar dalam
televisyen. Beliau mendakwa “...kumpulan hadapan telah ingkar arahan dan
menerus pergerakan menuruni jurang itu tanpa kebenaran beliau.”[12] Dalam
tentera, satu dakwaan yang serius! Stigma dakwaan meninggalkan kumpulan ketua
ekspedisi membuta beliau terasa dipinggir oleh pasukannya sendiri walaupun
kemudiannya Lembaga Penyiasatan telah membebasnya daripada dakwaan tersebut.[13]
Di samping itu, kesan ekspedisi menjejas kesihatannya sehingga kerap menjadi
‘tetamu’ di hospital. Ekoran itu, sebelum keputusan Lembaga diumun, beliau
membuat keputusan memohon untuk ‘Premature
Voluntary Release,’ iaitu, menamat perkhidmatan.
Permohonannya dilulus pada 6 Januari 1995 tanpa mengikuti ‘Latihan Peralihan’ sebagai
persediaan menghadapi dunia luar.
Beliau
seterusnya telah menyaman Kementerian Pertahanan UK kerana “...suffering from dehydration, malnutrition, and mental
trauma,”[14]
iaitu mengalami penghidratan, malnutrisi, dan trauma mental. Keputusan mahkamah
pada 18 Ogos 2000 memihak kepada beliau dan Kementerian Pertahanan membayar
£100,000.[15]
*****
TUDM
sudah pasti berbangga dengan kejayaan anggotanya. Kebanggaan ini terbukti apabila lapan anggota
dianugerah pingat untuk satu misi – tiga PTU dan lima BAT. Satu sejarah dalam TUDM. Malahan
buat pertama kali, tiga juruterbang - Kapt Mohamad Izhar, Kapt Gabriel, dan Lt
Nazhar - telah dianugerah Pingat Tentera
Udara (PTU) serentak. Pingat ini dikurnia kerana “...keperwiraan, keberanian
atau taat setia yang teristimewa yang ditunjukkan oleh anggota-anggota Tentera
Udara Diraja Malaysia semasa menjalankan tugas di dalam dan di luar operasi
penerbangan.”16]
Lebih manis lagi, mereka merupakan penerima terakhir anugerah tersebut.
PTU,
salah satu daripada lima ‘Anugerah Perkasa Persekutuan,’ telah diwarta pada
Ogos 1968 dan dihenti penganugerahan berkuat kuasa pada Julai 2011. Penerima
anugerah diberi Elaun Kenangan RM1,000.00 sebulan. Sepanjang tempuh itu, hanya
terdapat 32 penerima. Sehingga coretan ini, hanya 17 penerima masih ada.
*****
Episod
Low’s Gully mendapat liputan meluas di UK. Akhbar melapor agar hubungan antara
Malaysia dengan UK pulih kembali. Dalam laporan The Sunday Times, “...Whitehall is anxious to restore
links with Malaysia, one of the world’s fastest -growing economies.”[17] Harapan
UK termakbul apabila Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri, mengumun
menarik balik sekatan perdagangan ke atas Britain pada awal September 1994.[18]
Dengan
itu, peristiwa Low’s Gully kekal bukan sekadar kisah kehilangan dan penyelamatan, tetapi
satu pengajaran mahal tentang kepimpinan, tanggungjawab, dan harga sebenar
sebuah latihan bercorak cabaran.
TAMAT
[1] Rich Mayfield with Bob Mann.
(1997). Kinabalu Escape: The Soldiers’ Story. London: Constable, hlm.
279. Appendix One: Opening Statement to the Press following the Board of
Enquiry by Major General Patrick Cordingley DSO, General Officer Commanding
Eastern District.
[2] Mary Braid, Independent, Leaders of
lost expedition criticised, 21 September 1994.
[7] Lt Col Robert Neill & Major
Ron Foster. (1995). SOS. London: Century, hlm. 261.
[8] The Herald, Jungle expedition
leaders rapped by inquiry. Judgement of Army officers was flawed, 21
September 1994.
[9] Mary
Braid, Independent, Leaders of lost expedition sebelum
ini.
[10] UK Parliament. HANSARD 1803–2005. DEFENCE
- Training Centres. 21 June 1994 vol 245 cc108-9. Lihat https://api.parliament. uk/historic-hansard/commons/1994/jun/21/training-centres
(diakses pada 10 Disember 2025).
[11] Rich Mayfield with Bob Mann. (1997).
Kinabalu Escape sebelum ini, hlm. 280.
[14] Linus Gregoriadis, The Telegraph, £100,000 for
soldier who was rescued from jungle, 19 Ogos 2000.
[15] Ibid. Laporan itu menyata Sjn Mann juga
turut menyaman Kementerian Pertahanan UK dan menang tetapi tidak disebut jumlah
yang diterima.
[16] Data.gov.my. Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan
Antarabangsa (BIUPA), Senarai Penerima Kurniaan Pingat Tentera Udara.
Dengan penamatan anugerah PTU, anak kapal pesawat yang layak akan dianugerah
Jasa Perkasa Persekutuan (PJJ). Penerima anugerah ini turut menerima Elaun
Kenangan RM1,000.00. Lihat https://archive.
data.gov.my/data/ms_MY/dataset/senarai-penerima-kurniaan-pingat-tentera-udara-tahun-1958-hingga-2011 (diakses pada 13 Disember
2025).
[17] New Straits Times, Rescue spurs
hope ties will improve, 29 Mac 1994, hlm. 23.
[18] Lt Col Robert Neill & Major Ron Foster. (1995). SOS
sebelum ini, hlm. 257.